PAUSE HERE

4.2 Dasar-Dasar Utama Kerajaan




Dasar-dasar ekonomi secara keseluruhannya ialah tapak, panduan falsafah, peraturan dan cara mencapai sesuatu matlamat ekonomi negara. Dasar ekonomi juga merujuk usaha untuk mengubah masyarakat dan negara daripada keadaan mundur kepada maju dalam pelbagai aspek kehidupan (kebendaan dan bukan kebendaan). Pada peringkat awal, terutama sebelum tahun 1971, sebahagian besar program pembangunan ekonomi negara bertumpu kepada usaha untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertambahan dalam pendapatan per kapita. Sememangnya dari setahun ke setahun, kedua-dua unsur ini  menunjukkan peningkatan. Namun, masih berlaku masalah kemiskinan dan penguasaan sektor ekonomi tidak seimbang antara kaum. Misalnya, jurang kemiskinan antara golongan kaya dengan golongan miskin masih terlalu besar, monopoli sektor ekonomi oleh sesebuah kaum masih ketara dan masalah pengangguran dalam kalangan penduduk yang menyebabkan gejala sosial sering berlaku.

Program pembangunan ekonomi perlu dirancang bagi memastikan seluruh rakyat memperoleh keperluan asas ( makanan, pakaian dan tempat tinggal ) dan keperluan-keperluan besar lain seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan hak-hak kemanusiaan. Selain itu, ringkasnya dapat dirumuskan bahawa strategi pembangunan ekonomi negara selepas merdeka adalah untuk mencapai pembangunan yang seimbang bagi semua sektor ekonomi, perpaduan kaum dan kestabilan politik.

Selepas tragedi 13 Mei 1969 , sebagai sebuah negara yang tergolong dalam kumpulan Negara Dunia Ketiga ketika itu Malaysia sedang merancang pelbagai pembangunan ekonomi bagi membolehkan negara ini mencapai taraf Negara Perindustrian Baru (New Industrialised Country). Hal ini kerana, kebanyakan negara maju di Barat yang tergolong dalam kategori negara dunia pertama ialah sebuah negara perindustrian. Justeru, negara-negara Dunia Ketiga termasuk Malaysia ketika itu merancang pelbagai program pembangunan terutama dalam sektor industri untuk mencapai tahap atau status seperti negara-negara Barat.

Justeru, beberapa buah dasar digubal dan diaplikasikan di negara ini. Antaranya ialah dasar-dasar yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi negara. Pembentukan dasar-dasar ini penting kerana bukan sahaja bermotifkan perpaduan rakyat, malahan mencakupi semua aspek kehidupan dan kemanusiaan dalam negara. Dasar-dasar ini juga dibentuk dengan mengambil kira setiap peringkat umur, kaum, taraf sosial dan agama supaya lahir sikap bertolak ansur, berperikemanusiaan, bertanggungjawab dan nilai-nilai murni yang lain dalam kehidupan. Sejajar dengan itu juga, dasar-dasar yang berkait dengan pembangunan sosial turut diperkenalkan. 

Dasar Pembangunan Nasional (DPN)

  • Tahun 1990, menandakan berakhirnya RRJPI dan DEB. Dalam tempoh perlaksanaan DEB (1971-1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
  • Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh, namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses kejuruteraan (sosioeconomic engineering) ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia amya.
  • RRJPK2 (1991-2000) telah digubal berasaskan DPN dan rancangan ini menandakan bermulanya satu lagi era baharu dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Matlamat Utama DPN

  • Membentuk masyarakat bersatu-padu
  • Membina kestabilan politik, ekonomi dan sosial.
DPN merangkumi perkara berikut :-

1.Mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan pengagihan yang saksama.
2. Memastikan pembangunan yang seimbang  bagi semua sektor ekonomi yang utama dan pertumbuhan saksama.
3.Mengurangkan dan menghapuskan suasana sosial dan ekonomi yang tidak seimbang serta menggalakkan perkongsian yang adil daripada pembangunan Negara.
4.Menggalak dan mengukuhkan integrasi nasional menerusi pengurangan atau menghapuskan jurang perbezaan pembangunan ekonomi di antara negeri-negeri dan kawasan-kawasan.
5.Membangunkan sebuah masyarakat yang maju dan dapat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi.
6.Memajukan pembangunan sumber manusia dan mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin dan produktif.
7.Menjadikan sains dan teknologi sebagai teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi.
8.Memastikan perlindungan alam sekitar dan ekologi dalam jangka panjang bagi memastikan pembangunannegara dapat dikekalkan secara berterusan. 

Fokus Utama DPN ialah :-
  • Pembasmian kemiskinan
  • Penyusunan semula masyarakat
DPN memberi fokus pada strategi berikut :-
  • Hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan.
  • Persaingan dalam pasaran antarabangsa.
  • Wawasan Malaysia akan muncul sebagai negara maju menjelang tahun 2020.





4.2.1 Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan didefinisikan sebagai kebudayaan keseluruhan cara hidup manusia. Kebudayaan penting dalam proses pembangunan negara kerana keperibadian Malaysia mesti dipupuk melalui usaha meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Ianya memerlukan kerjasama dan penglibatan semua lapisan masyarakat.Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum. Maka, proses pembentukan kebudayaan nasional mestilah melakukan sebuah perancangan yang teliti dan rapi agar dapat melahirkan cara hidup yang harmoni.

Buat pengetahuan semua pembaca, Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah diperkenalkan pada tahun 1971 di Malaysia. Ianya lahir daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Dasar ini ditubuhkan sebagai garis panduan dalam membentuk,mewujud dan mengekalkan identiti negara. Penggubalan dasar mestilah mempertimbangkan fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara. Contohnya seperti negara sebagai pusat pertemuan,pusat perdagangan dan pusat tamadun. Negara kita menjadi pusat-pusat tersebut sejak dua ribu tahun lampau.Peranannya adalah sebagai pusat pertemuan. Ia telah melahirkan beberapa proses seperti interaksi,pengenalan,penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas. 





 Objektif  Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah :-
  1. Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan.
  2. Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan.
  3. Memperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.
Strategi dan Pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah :-
  1. Pemulihan,pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas kebudayaan kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya.
  2. Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha membimbing dan melatih peminat menggerakkan kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan.
  3. Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan,kenegaraan dan nasionalisme Malaysia
  4. Memenuhi keperluan sosiobudaya
  5. Meninggikan taraf dan mutu kesenian.
Pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan mengambil kira tiga aspek utama :-

1.Berteraskan Kebudayaan Rakyat Asal Rantau 
  • Malaysia , Indonesia, Filipina , Singapura , Brunei,Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia,Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun Melayu.
  • Rantau ini adalah pusat pemancaran,pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu berpusat di Melaka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (lingua franca).
2.Unsur-unsur Kebudayaan Lain yang Sesuai dan Wajar Diterima
  • Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum. 
  • Dengan unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.
3.Islam Menjadi Unsur Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan
  • Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berpribadi mulia. 
  • Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang usaha bagi mengisi kehendak emosi dan fizikal kerana ia patut jadi unsur utama dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.

Contoh Pakaian Traditional

Makanan Traditional Melayu

Contoh Makanan Traditional Cina

Contoh Makanan Traditional India
Tarian Traditional Melayu

4.2.2 Dasar Pembangunan Belia Negara



Dasar Pembangunan Belia Negara dirancang untuk melahirkan generasi belia yang berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Dasar ini diwujudkan adalah untuk memastikan keupayaan belia menggembleng kekuatan, ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.

Definisi Dasar Pembangunan Belia Negara adalah :-
  • Dasar Belia Negara diilhamkan pada April 1973 di UM. Pada 13 Disember 1985, Dasar Belia Negara diumumkan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datuk Dr Sulaiman Haji Daud.
  • Dikaji semula pada tahun 1997 yang kemudiannya dinamakan sebagai Dasar Pembangunan Belia Negara.
  • Golongan belia dikategorikan kepada golongan berumur antara 15 – 40 tahun dan meliputi 42% daripada jumlah 20 juta penduduk Malaysia. Walaubagaimanapun, dari segi strategi pelaksanaan program dan orientasi aktiviti, tumpuan utama ialah mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun. Golongan ini merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
  • Memandangkan belia memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan sebagai bakal pemimpin Negara, usaha bagi mewujudkan organisasi belia yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan. Dasar Program Induk Belia Negara dilancarkan pada bulan Jun 1991. Belia merupakan separuh daripada penduduk di Malaysia. Kemajuan Belia merupakan kemajuan negara.

Matlamat Dasar Pembangunan Belia Negara adalah :-
  • Mewujudkan belia Malaysia yang memiliki peribadi yang bersepadu.
  • Menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara selaras dengan Wawasan 2020.
Prinsip-Prinsip Dasar Pembangunan Belia Negara adalah :-
  • Mengamalkan prinsip Rukun Negara
  • Mewujudkan semangat perpaduan
  • Mewujudkan sifat kepimpinan yang matang
  • Menggalakkan penyertaan dalam proses perancangan negara
  • Membina nilai moral tinggi
  • Mencapai taraf keilmuan luas dan mendalam.


Pelaksanaan

i.              Bahagian Perkhidmatan Belia di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat diwujudkan untuk membimbing dan memberi perkhidmatan sosial kepada golongan belia.
ii.             Kementerian Belia dan Sukan ditubuhkan untuk merancang dan melaksanakan dasar-dasar untuk menjalankan kegiatan yang memanfaatkan golongan belia.
iii.            Program Rakan Muda’ diwujudkan untuk meningkatkan penglibatan belia dalam pelbagai bidang untuk membentuk masyarakat yang seimbang, berdaya saing, berani dan dinamik selaras dengan kehendak negara.
iv.           Koperasi Belia diadakan mewujudkan oraganisasi yang bercorak koperasi peringkat kebangsaan demi menjaga kepentingan belia dalam bidang ekonomi dan sosial.
v.            Program Belia Berniaga membekalkan kursus-kursus keusahawanan untuk memberi kemahiran kepada belia.
vi.           Kemahiran Vokasional dan Teknikal turut diadakan untuk memperlengkap kemahiran belia untuk memenuhi kehendak pasaran kerja. Contohnya, Institut Kemahiran Belia Negara ditubuhkan untuk menggalakkan belia-belia mendapatkan latihan kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja yang diperlukan oleh sektor industri ke arah mencapai Wawasan 2020.
vii.          Badan-badan Sukarela menganjurkan pelbagai program dari semasa ke semasa untuk membangunkan belia negara.
viii.         Slogan Malaysia Boleh’ merupakan galakan untuk memperjuang semangat kebangsaan di kalangan belia negara.
ix.           Sepuluh aspek yang menjadi motto ialah:

a.            Malaysia Cergas
b.            Malaysia Cemerlang
c.            Malaysia Patriotik
d.            Malaysia harmoni
e.            Malaysia Mahir
f.             Malaysia Mulia
g.            Malaysia Sejagat
h.            Malaysia Prihatin
i.              Malaysia Berbudaya

Program Belia (Perniagaan)

a. Belia Berniaga
Rancangan ini bertujuan usahawan-usahawan di kalangan belia dengan mendorong mereka menggunakan kemahiran yang telah diperolehi melalui kursus-kursus keusahawanan yang disediakan.
b. Koperasi Belia
Bertujuan meninggikan taraf hidup belia-belia amnya dan ahli-ahli khususnya dan menjaga kepentingan belia dalam semua bidang terutama ekonomi dan sosial supaya dapat mewujudkan satu organisasi perniagaan besar yang bercorak koperasi di peringkat nasional.
c. Belia Peladang
Bertujuan untuk melibatkan para belia dalam projek pertanian, penternakan dan perusahaan-perusahaan berasaskan pertanian, dengan bermatlamat untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan sendiri di kalangan belia-belia terutama sekali mereka yang tinggal di luar bandar

Program Latihan

a. Latihan dan Bimbingan
Bertujuan memberi dan menguruskan latihan kemahiran vokasional dan teknikal untuk membolehkan belia mendapat pekerjaan sendiri serta melengkapkan latihan kemahiran kerja belia.
b. Cawangan Latihan dan Bimbingan

  • Ditubuhkan dengan tujuan merancangkan aktiviti-aktiviti bercorak latihan kemahiran secara formal dan latihan secara tidak formal.
  • Badan-badan Belia terdiri daripada persatuan, pertubuhan dan majlis belia yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan termasuk juga badan-badan sukarela seperti kesenian, kebajikan, sukan, kerjaya dan keagamaan dan badan-badan politik dan kesatuan sekerja. Dari semasa ke semasa, badan ini menganjurkan program-program latihan dan bengkel kepimpinan kepada ahli-ahli untuk mencungkil bakat kepimpinan.

Pencapaian

i.              Belia akan sedar tanggungjawab mereka terhadap negara.
ii.             Mengurangkan masalah sosial.
iii.            Belia menjadi progresif.










4.2.3 Pelan Integriti Nasional


  • Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal dengan merangkumi semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan. 
  • PIN juga menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara, iaitu membina masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal dan progresif serta berpegang teguh pada lima prinsip Rukun Negara.
  • PIN dibimbing oleh falsafah dan cabaran Wawasan 2020 ke arah mewujudkan sebuah negara maju menurut acuan sendiri menjelang tahun 2020.
  • PIN mencerminkan ciri-ciri khusus masyarakat dan negara Malaysia.
  • PIN mengambil kira perkembangan antarabangsa, pengalaman negara-negara lain serta impak arus globalisasi.
Konsep PIN adalah :-
  1. PIN ialah sebuah pelan induk yang bertujuan memberikan hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara.
  2. PIN merupakan suatu gagasan yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, lapisan dan wilayah. Kerjasama antara semua pihak ini menjadi kekuatan bagi memngubah atau menambah baik nilai dan amalan masyarakat serta institusinya.
  3. Pendekatan PIN adalah untuk mengkoordanisasikan usaha semua komponen dan sektor dalam gerakan pemantapan integriti. PIN memerlukan keseluruhan institusi kerajaan negara, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman supaya meningkatkan integriti mereka, menghormati dan mempertahankan prinsip pemisahan kuasa serta melaksanakan fungsi masing-masing dengan cekap, telus, adil dan berkesan.
  4. PIN juga memerlukan pelbagai komponen dan institusi dalam masyarakat supaya merangka dan melaksanakan program pemantapan integriti mereka. Sinergi pelaksanaan program integriti oleh semua komponen dan sektor tersebut akan dengan sendirinya menyumbang kepada pemantapan integriti seluruh masyarakat dan negara.
Tujuan PIN adalah :-
  1. Menjadikan integriti sebagai budaya masyarakat, memperkukuhkan asas moral masyarakat dan negara.
  2. Meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
  3. Meningkatkan daya saing dan daya tahan dan daya tahan negara dalam usaha menangani cabaran globalisasi.
Objektif PIN adalah :-
  1. Merealisasikan hasrat Wawasan 2020, iaitu menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri dengan membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.
  2. Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika.
  3. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang.
  4. Menggalakkan semangat bertanggungjawab dalam kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti.
  5. Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara serta peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat.
  6. Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.
Pendekatan yang digunakan :-

  1. Laporan dan resolusi oleh stakeholders terdiri pelbagai sektor masyarakat melalui konvesyen, persidangan, seminar, forum atau kursus integriti yang diadakan secara berkala.
  2. Maklum balas melalui soal selidik dan kajian yang dijalankan terhadap para peserta konvesyen, persidangan dan kursus yang dijalankan.
  3. Kajian mengenai nilai etika dan integriti yang dijalankan dari semasa ke semasa atas atas tajuk-tajuk khusus dengan memilih sampel secara rawak daripada pelbagai sektor masyarakat diseluruh negara.
Lima Tekad Integriti adalah :-
  1. Tekad integriti satu - Memerangi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara menyeluruh dan berkesan.
  2. Tekad integriti kedua - Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi.
  3. Tekad integriti ketiga - Meningkatkan tadbir urus korporat, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial korporat.
  4. Tekad integriti keempat - Memantapkan institusi keluarga dan komuniti.
  5. Tekad integriti lima - Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.







Pengajaran


  1.  Malaysia perlu mempunyai perancangan pembangunan yang sistematik bagi memastikan kelestarian pembangunan sosioekonomi . 
  2. Sesebuah negara memerlukan perancangan pembangunan yang telus demi kepentingan semua pihak . 
  3. Sebagai rakyat Malaysia , semua warganegara adalah bertanggungjawab menjadi penyokong kepada segala dasar-dasar kerajaan . 
  4. Dasar-dasar pembangunan sosial yang diperkenal oleh negara sesungguhnya amat bermaksna dalam memupuk perpaduan , kesamarataan dan integriti rakyat

Kesimpulan

Pembangunan negara bertujuan untuk mencapai kesejahteraan rakyat supaya semua rakyat tanpa mengira kaum dapat menikmati kehidupan yang sempurna. Dengan demikian, dasar-dasar pembangunan dibentuk untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu. Usaha-usaha pembangunan ekonomi adalah bertujuan untuk mengurangkan lagi jurang perbezaan antara kaum, wilayah dan negeri agar integrasi nasional dapat dicapai.


Tegasnya , kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif yang sangat bersunguh-sungguh untuk mengangkat ekonomi negara ke tahap yang paling maksima . Biarpun begitu , kerajaan juga sangat mengambil kira kesan jangka pendek dan panjang terhadap sesuatu pelaksanaan dasar pembangunan tersebut . Justeru , tidak hairanlah aspek pembasmian kemiskinan , peningkatan KDNK dan taraf ekonomi seisi rumah dibangunkan seiring dengan penyusunan semula masyarakat dan agihan ekonomi yang seimbang antara semua kaum , masyarakat dan juga kawasan . 


Semua dasar pembangunan yang digubal oleh kerajaan merupakan satu garis panduan yang amat penting dalam membentuk sahsiah peribadi manusia dalam negara dan juga menjamin perpaduan sekaligus keharmonian rakyat . Dasar-dasar ini digubal supaya setiap pihak mendapat layanan yang saksama , menitikberatkan nilai kemanusiaan , bertolak ansur sesama kaum dan jantina , malahan meletakkan negara dengan satu identiti yang tersendiri di mata dunia  . Walau bagaimanapun , keberkesanannya amat bergantung kepada penghayatan rakyat negara terhadap setiap dasar yang digubal tersebut